Ahad, 15 Februari 2015

Rindu Yang Tak Akan Surut


Pulang mereka terlebih dahulu daripada saya. Cukup mengharukan saya. Saya simpan dua nama itu jauh di lubuk hati. Tatkala janji itu pasti, saya makin belajar erti kehilangan. Apa yang pasti, tiap-tiap yang bernyawa, pasti akan pulang menemuinya. 

Awal-awal lagi saya pesan pada hati, dalam hidup andai diuji, lapangkan hati. Ya, sedaya upaya saya cuba jadi insan yang kuat dalam ranjau yang tiada penghujungnya kecuali mati. Namun apakan daya, rindu ini tidak pernah surut walau sesaat.

Tatkala insan lain riang bersama si kecil, jauh di sanubari ini hati saya berteriak lagi. Andai mereka masih ada alangkah gembiranya saya. Siapalah selain merayu padaNya. Dia meminjamkan kepada saya cuma seketika Muhammad Taufiq dan Muhammad Syafiq!

Di hujung malam, air mata kerinduan ini pasti jatuh. Mampukah saya? Mampukah saya? Saya tanya berulang kali pada hati. Apa yang mampu saya buat? Saya pujuk hati. 'Ingatlah hati, Allah uji kita sebab dia sayangkan kita.' Rayu saya berulang kali.

'Ingatlah hati, bukan kita sahaja Allah uji hilangnya permata hati, sedangkan kekasihnya Muhammad Saw sedangkan lagi diuji, inikan kita manusia biasa.

"Ya Allah, ketemukan hambaMu ini dengan mereka di  Sana."

Ahad, 8 Februari 2015

Suratan Itu Saya Terima

Andai semuanya sudah tertulis, saya terima seadanya. Mana mungkin saya menyalahkan takdir. Walau betapa peritnya rasa, saya perlu cekalkan hati. Hidup perlu saya teruskan. Sungguh saya tidak menyangka, sejarah 12 Disember 2013 akan berulang semula. 


Ya Allah, dugaan apakah ini? Saya sedaya upaya sekali lagi teguhkan hati. Jika suratan ini tertanam dalam hidup saya, saya mohon Yang Maha Esa jadikan saya hamba yang benar-benar tabah.

29 Januari 2015 saya cuba menahan air mata ini dari terus mengalir. Namun, sekuat manalah hati saya tatkala menatap sekujur tubuh si kecil saya dipakaikan jubah dan serban di sebelah kanan saya. 

Usianya baru 24 minggu, namun cukup sempurna di mata saya. Sama seperti abang sulungnya, dia juga pergi meninggalkan saya. Air mata tanpa henti mengalir pergi. Sungguh saya tidak berdaya. Dugaan yang sama berulang disaat si kecil ini saban hari menendang rahim saya.

Hari ini hari kesepuluh saya berpantang untuk kali kedua tanpa si comel yang saya sayang. Sekalipun berat yang saya pikul, saya tetap berdoa moga abang dan adik akan menanti saya dan suami di "sana".

 Andai berat suami dan keluarga menatap saya tanpa anak, saya terlebihlah berat merasakan semua ini. Saya menanggung segalanya dengan hati penuh kepayahan.Ya Allah, diri ini sungguh mengharapkan hadiah terindah dariMu suatu masa nanti.

Kepada suami, saya pesankan agar  adik dapat bersama abangnya. Alhamdulillah, permintaan saya ditunaikan. Adik dikebumikan bersebelahan dengan abangnya di atas pusara arwah bapa saya. 

Hingga di saat ini, doktor pakar sendiri tiada jawapan atas kehilangan anak-anak saya. Jauh di sudut hati saya, saya redha walaupun perit untuk saya lalui. Biarlah saya tanggung segalanya andai ini sudah tersurat.







Jumaat, 21 November 2014

Yang Lebih Termahal di Dunia Itu Apa?



Hari ini 21 November 2014, Harian Metro ruangan Nuansa menyenaraikan 16 benda termahal di dunia. Bermula daripada antijirim, kalifornium, berlian, tritium, taaffeite, painete, plutonium, LSD (dietilamida asid), kokain, heroin, tanduk badak sumbu, metamfetamim, platinum, rodium, emas dan yang terakhir iaitu safron (sejenis rempah ratus daripada bunga safron). Safron walaupun sejenis herba, harganya mampu mencecah hingga RM 20, 000.

Saya termenung sesaat. Benarkah semua itu lebih mahal daripada apa yang pernah saya miliki? Mahu di tanya apa lagi sedangkan hati saya berkata tidak. Bagi saya semua itu tidak semahal apa yang saya pernah rasa hampir setahun yang lalu. Sekelip mata saya hilang sesuatu yang paling mahal dalam hidup saya.


Hingga saat ini, hati saya tidak pernah lupa akan dia. Hanya sekeping nama yang masih utuh di celah hati saya. Tinggalan yang saya mampu tatap hanya bantal-bantal comel yang tergantung di atas kepala saya.


Bulan Mei 2013, saya dan suami memanjat syukur. Alhamdulillah, awal tahun hadapan 2014, kami akan menerima kehadiran orang baru. Betapa bersyukurnya saya atas anugerah itu. Doa saya, jika lahirnya dia biarlah dia lahir sebagai anak yang soleh, anak yang dekat dengan Allah, anak yang taat ibu ayah, anak yang "akhirnya" nanti dekat dengan yang Maha Esa.


Ketika dia mula membesar di dalam rahim saya, Subahnallah! Dia sudah pandai bergerak. Suami dan saya bersyukur. Betapa besarnya anugerah Allah. Setiap hari, setiap detik   saya mampu merasai pergerakan itu. hati makin tidak sabar menatap wajah comelnya.


12 Disember 2014, usia dia mencecah 29 minggu. Hari yang penuh tanda tanya. Tiba-tiba dia langsung tidak bergerak dalam rahim saya. Saya cuba sedapkan hati. Mungkin baby tertidur. Namun naluri saya menyatakan sesuatu yang buruk. Dalam solat maghrib, saya kuatkan hati. Dalam doa, saya mohon Allah siapkan hati saya dengan sebidang ketabahan jika sesuatu yang buruk benar-benar terjadi.


Saya bersama keluarga mentua terus ke bilik bersalin Hospital Langkawi untuk pemeriksaan.

Di saat doktor pakar iaitu Dr Harun membuat pemeriksaan. Dia hanya diam sesaat lalu bertanya.

 "Datang dengan suami?"

"Tak, dengan mak mentua. Suami kerja." 
"Minta panggil mak mentua masuk".

Hati saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Ketika ibu mentua saya masuk hati saya makin berdebar.


"Maaf puan, dalam pemeriksaan denyutan jantung baby saya sahkan baby baru meninggal dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Harap puan dapat bersabar."


Jantung saya benar-benar berhenti berdenyut. Ya Allah, kau tabahkan hatiku walau sebesar gunung sekalipun dugaan ini buat diri. Hanya doa dan air mata yang mampu saya luahkan. Dalam sekelip mata saya hilang si comel yang paling berharga dalam hidup saya.


Saya tidak mampu berkata walau sepatah ayat kerana saya hambaNya yang punya banyak kelemahan. Siapa yang untuk menentang takdir yang Maha Esa. Walau tujuh saat, tujuh minit, tujuh jam, tujuh minggu hatta tujuh bulan sekalipun dia pinjamkan saya si comel itu di rahim  ini, saya tetap bersyukur kerana pernah memiliki dia. 


Saya kuatkan hati untuk lalui semua ini dengan hati terbuka. Saya benar-benar berbaik sangka pada Dia yang Esa. Saya yakin Allah akan gantikan anak comel itu dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.


Doa saya benar-benar termakhbul. Allah ambil dia semula dalam suci bersih. Tanpa secalit dosa.


"Anakku, dirimu lebih termahal dia dunia ini"


Walau 16 benda termahal di dunia ini dan berkali ganda mahal harganya, manakan sama dengan dirimu, anak.


Saya tidak mampu mencatat semua ini hingga hari ini saya punyai sedikit kekuatan untuk terus kuat lalui arus ini.